Diperdaya ejen urus pinjaman rm87 000

PETALING JAYA: Tindakan seorang ahli perniagaan membuat pinjaman ikut pintu belakang menggunakan khidmat seorang ejen di Damansara Damai, di sini, mengundang padah apabila dia diperdaya lelaki terbabit sehingga kerugian RM87,000.
Mangsa berusia 26 tahun mendakwa diperkenalkan kepada ejen terbabit oleh rakannya pada akhir Jun lalu selepas diberitahu lelaki itu mempunyai ramai kenalan rapat terdiri daripada pegawai bank dan banyak membantu individu membuat pinjaman tanpa mengikut prosedur biasa.

Menurut sumber, mangsa terpaksa menggunakan khidmat ejen itu berikutan dia didapati tidak layak untuk meminjam membabitkan jumlah besar dan kali pertama menemui ejen itu di sebuah restoran di Damansara Damai.
"Selepas berbincang, ejen itu meminta mangsa membayar RM5,000 kononnya untuk membuat dokumen yang membolehkan pinjamannya diluluskan.

"Seminggu kemudian, ejen terbabit menghubungi mangsa dan meminta RM3,000 lagi kononnya wang itu digunakan untuk dibayar kepada Bank Negara di samping mangsa dikehendaki menandatangani satu surat perjanjian," katanya.

Sumber berkata, sejak itu ejen terbabit memberi pelbagai alasan bagi mendapatkan wang daripada mangsa sedikit demi sedikit kononnya ia digunakan untuk membayar beberapa pihak tertentu supaya pinjamannya diluluskan dengan mudah.
"Tipu helah ejen terbabit berlarutan sehingga lebih dua bulan dan mengakibatkan mangsa mengeluarkan wang keseluruhannya berjumlah RM87,000.

"Mangsa menyedari tertipu selepas pinjamannya belum diluluskan, sedangkan banyak wangnya habis sehingga terpaksa berhutang," katanya.
Katanya, mangsa menemui ejen terbabit dan bertanyakan hal sebenar status pinjamannya.

"Ejen terbabit berang dan mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kepada polis jika tidak mahu wangnya lenyap.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh untuk tindakan lanjut," katanya.


0 Komentar untuk "Diperdaya ejen urus pinjaman rm87 000"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info