Pelajari ilmu tajwid

HUKUM membaca al-Quran secara bertajwid adalah wajib atau fardu kifayah kepada pembacanya. Maksudnya mempelajari ilmu tajwid itu sebagai fardu kifayah, bererti mestilah ada dalam sesuatu tempat atau lokasi itu seorang atau beberapa orang yang mengetahui ilmu tajwid sebagai rujukan bagi masyarakat setempatnya.
Jika tidak ada seorang pun di kawasan tersebut yang mahir dalam ilmu tajwid maka kesemua penduduk kawasan itu menanggung dosa. Walaupun membaca al-Quran itu dikira sebagai sunat, al-Quran itu wajib dibaca dengan bertajwid sebagaimana ia diturunkan tanpa membuat perubahan.
Sesiapa yang membaca al-Quran tanpa tajwid serta bacaannya boleh mengubah tafsiran al-Quran maka ia adalah berdosa. Golongan ini dilaknati Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ramai orang membaca al-Quran, sedangkan al-Quran sendiri melaknatinya." Juga rujuk al-Baqarah ayat 121.
Zaid bin Thabit menyebutkan sabda Nabi SAW bermaksud: Sesungguhnya Allah Taala menyukai seseorang hamba-Nya membaca al-Quran secara tepat sebagaimana ia diturunkan.
 
Sabda Rasulullah lagi bermaksud: "Sesungguhnya akan datang beberapa golongan sesudahku, orang-orang yang membaca al-Quran seperti cara orang bernyanyi, cara orang ahli kitab dan cara seperti orang meratap, yakni keluarnya huruf-huruf yang melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan mahraj al-huruf, semata-mata tujuannya mempersona dan menakjubkan orang sahaja."
 
Lagu fasik ialah lagu yang bukan berasal daripada lagu Arab yang diatur not kaedah muzik yang boleh merosakkan bunyi makhraj dan sifat huruf. Manakala lagu nyanyian ahli kitab iaitu lagu yang dilakukan seperti orang yang putus asa atau merintih ditimpa bencana dapat melalaikan sebutan huruf.
Telah sepakat para ulama sepanjang zaman dari zaman Rasulullah SAW sehingga sekarang dalam menyatakan bahawa membaca al-Quran secara bertajwid adalah suatu yang fardu dan wajib.
 
Menurut mazhab Syafi'i, bahawa memelihara pembacaan Kitab Allah Taala iaitu membaca secara bertajwid yang muktabar di sisi ahli Qiraat adalah suatu yang wajib, tiada keraguan lagi, sedangkan bacaan selain itu adalah berdosa dan karut.
Perlu disampaikan bahawa ada beberapa hal yang sangat penting dalam membaca seni al-Quran terutama dalam sesuatu majlis bacaan atau tilawah menurut pendapat ulama yang antara lainnya sebagai berikut.
 
Pertama; setiap orang mesti membaca al-Quran dengan fasih dan bertajwid. Sebab hal ini merupakan masalah pokok. Kalau kita hanya mengejar lagu tanpa memerhatikan tajwid, ini merupakan satu kesalahan yang sangat besar. Kedua-duanya harus berjalan secara harmonis. Membaca dengan bertajwid, membaca dengan fasih, kemudian dilagukan secara harmonis.
Kedua; kita harus mempunyai bakat dan juga minat. Kalau kita mempunyai minat untuk membaca al-Quran, itu dapat memberikan satu jaminan bahawa kita dapat berlatih secara istiqamah. Sedangkan dengan bakat yang dimiliki bererti kita memiliki suara yang diperlukan dalam membaca al-Quran dan juga kita memiliki pernafasan yang cukup baik.
 
Ketiga; sabar dan ikhlas. Setiap orang harus bersabar dan ikhlas dalam membacakan al-Quran. Kerana dalam seni membaca al-Quran banyak hal-hal yang berkaitan di dalamnya, dari segi tajwid, ataupun qiraatnya. Kita perlu mempelajari bagaimana pernafsan yang baik, seluk beluk lagu, dari lagu a, b, c, dan sebagainya. Semua ini betul-betul memerlukan kesabaran dan keikhlasan kerana Allah semata-mata.
l IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu


0 Komentar untuk "Pelajari ilmu tajwid"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info