Runtuhan al-Aqsa jenayah Yahudi

DEWAN Auditorium D8, Putrajaya dipenuhi kira-kira 500 umat Islam yang mahu melihat secara dekat dan mendengar amanat Presiden Pertubuhan Islam Palestin 48, Syeikh Raed Solah.
Tokoh Pejuang Kebebasan Baitulmuqaddis yang berusia 54 tahun itu kelihatan gigih menyampaikan ceramahnya. Beliau yang menyeru umat Islam di negara ini dan seluruh dunia agar bersatu mempertahankan Baitulmuqaddis.
Baitulmuqaddis merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah.
 
Pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini atas undangan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), warga Israel itu mempunyai perwatakan yang serius, semangat yang kental tetapi mudah mesra.
Dilahirkan di perkampungan Arab Israel, Umm al-Fahm, keluarganya mempunyai hubungan yang kuat dalam mempertahankan Israel.
Bapa dan salah seorang daripada adik-beradiknya merupakan pegawai polis.
"Saya rasa gembira dengan pertemuan ini dan apabila pulang kelak akan saya khabarkan kepada warga Islam Palestin bahawa mereka tidak bersendirian kerana saudara-saudara Islam di Malaysia turut menyokong perjuanganmereka mempertahankan Kota Suci Baitulmuqaddis," kata Syeikh Raed yang berada di Malaysia selama 11 hari pada awal September lalu.
 
Sepanjang berada di negara ini, beliau telah melakukan beberapa siri ceramah dan membuat lawatan kepada para pembesar negara.
Presiden Pertubuhan Islam Palestin 48 itu juga berpeluang melawat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.
Pada kesempatan itu, Syeikh Raed telah menceritakan kedudukan sebenar keadaan Masjid al-Aqsa yang sehingga kini menjadi sasaran pihak Zionis.
Syeikh Raed telah mengimamkan solat Jumaat di Masjid Putrajaya. Kemudian, rombongan yang disertai oleh Pengerusi Eksekutif Aman Palestin itu turut berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
 
Syeikh Raed juga bertemu dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad di bangunan Yayasan Al-Bukhari, Kuala Lumpur. Selain itu, beliau turut memberi ceramah kepada para pelajar di universiti tempatan seperti di Universiti Putra Malaysia.
Bapa kepada tiga anak lelaki dan lima perempuan tidak banyak bercerita mengenai hal-hal peribadi tentang diri dan ahli keluarganya.
Ini berikutan dirinya menjadi buruan dan beliau bimbang pendedahan itu mengundang bahaya kepada diri, ahli keluarga atau mereka yang berkaitan.
Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Ibnu Sina (1965 hingga 1973). Beliau kemudian menyambung pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Umm al-Fahm (1973 hingga 1976) sebelum meneruskan pengajian ke peringkat universiti dalam pengkhususan jurusan Syariah, Universiti al-Khalil.
Tamat pengajian beliau menjadi guru. Namun tidak lama kemudian Syeikh Raed menceburi bidang perniagaan ekoran sekatan yang dikenakan oleh Israel.
Sejak itu, beliau mulai aktif dalam gerakan mempertahankan Islam yang diketuai oleh Syeikh Abdullah Nimer Darwish. Bintangnya semakin bersinar apabila pada tahun 1989 beliau dipilih sebagai Datuk Bandar Umm al-Fahm.
 
Pembabitan dan ikatan yang kuat dengan pergerakan Islam dengan ideologi jihad menyebabkan Syeikh Raed dilarang keluar dari Israel pada tahun 2001.
Pernah dipenjara
Antara sumbangan besar beliau ialah memakmurkan Musolla al-Marwani, iaitu satu ruang solat bawah tanah yang ditemui dalam kawasan Masjid al-Aqsa dan melancarkan program mengimarahkan Masjid al-Aqsa semasa menjawat jawatan Pengerusi Institusi al-Aqsa. Beliau merupakan individu pertama yang menjumpai dan mendedahkan jenayah Yahudi yang berusaha melemahkan struktur Masjid al-Aqsa dengan menggali terowong di bawahnya.
Pada tahun 2003, beliau dipenjara selama dua tahun oleh polis Israel ekoran mengumpul dana untuk disalurkan kepada Hamas di Jenin, Samaria utara.
Kebangkitan Intifada Palestin kedua berlaku pada tahun 2000. Ekoran itu, pergerakan Islam telah memperkenalkan slogan, Al-Aqsa dalam bahaya.
Sejak itu puluhan ribu golongan muda mula terbabit dalam memperjuangkan isu Masjid al-Aqsa yang diancam keruntuhan ekoran perbuatan Yahudi menggali terowong hingga ke bawah masjid berkenaan.
 
Pihak Yahudi turut menggunakan asid dalam kerja-kerja penggalian terowong itu bagi memberi kesan yang lebih teruk kepada struktur masjid. Tindakan itu juga menyebabkan pokok berusia ratusan tahun tumbang.
Pesta arak
Beberapa tiang di masjid itu ada yang retak malah ada lantai yang berlubang. Akibatnya, ia menyemarakkan lagi gelombang umat Islam seluruh dunia untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa.
 
"Kita cukup sedih dan terkilan apabila musuh berjaya memecah-belahkan umat Islam. Mulanya, Israel menjadikan isu Masjid al-Aqsa sebagai isu tempatan tetapi kita berjaya menarik perhatian umat Islam seluruh dunia untuk sama-sama mempertahankan masjid ini.
"Umat Islam juga perlu mengetahui isu Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa. Isu ini penting dan kita perlu sama-sama mempertahankan masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam ini," tegas Syeikh Raed.
Beliau menjelaskan, sejak kurun ke-19, Yahudi cuba memusnah dan menghancurkan segala-gala atau lambang yang mempunyai kaitan dengan Islam di bumi Palestin.
 
Sebanyak 1,200 masjid telah musnah dan segala usaha mereka masih berterusan dengan harapan Islam hancur di Baitulmuqaddis.
"Masih ada ratusan masjid lagi di Palestin tetapi ia masih belum selamat, sebahagian telah diambil oleh Yahudi untuk dijadikan kedai arak. Baru-baru ini, mereka telah menganjurkan pesta arak di Masjid Telaga Tujuh dan telah menumpahkan arak di dalam masjid tersebut.
"Selain itu, mereka turut merampas tanah wakaf penduduk Islam, meratakan tanah perkuburan Islam bagi dijadikan hotel, kedai dan perkampungan Yahudi," katanya.
Terowong itu dipercayai mula dikorek sejak kurun ke-18 atas alasan mencari kesan sejarah The King Solomon Temple. Ia semakin giat dilakukan sejak tahun 1968.
 
Sehingga kini, kajian yang dilakukan oleh penyelidik Britian dan Jerman masih gagal mencari kesan sejarah itu. Malah, menurut Syeikh Raed, usaha tersebut merupakan satu pembohongan kerana hasrat utama mereka adalah untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa dan digantikan dengan kuil penganut agama Yahudi.
Fasa akhir
Beliau menambah, beberapa media Yahudi juga mendedahkan perbincangan pemimpin mereka yang dalam peringkat akhir untuk merobohkan Masjid al-Aqsa.
Usaha-usaha yang dilakukan oleh masyarakat Yahudi telah menimbulkan kesedaran dalam kalangan umat Islam seluruh dunia agar bangkit mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa.
 
Syeikh Raed memberitahu, ibu-ibu Islam di Algeria telah mengambil inisiatif mendodoikan anak-anak mereka dengan kata-kata: "Tidurlah anak-anak yang bakal bebaskan Masjid al-Aqsa".
Selain itu, pemuda-pemudi di Turki juga telah sedar dan mereka sanggup berjuang untuk mempertahankan masjid suci itu.
Syeikh Raed yakin segala usaha yang dilakukan Yahudi untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa akan menemui kegagalan pada masa yang sama agama Islam akan terus mencapai kejayaan.


0 Komentar untuk "Runtuhan al-Aqsa jenayah Yahudi"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info