Batal pernikahan kerana masih berihram

PERSIAPAN perkahwinan yang telah disiap sediakan sekian lama terpaksa dibatalkan begitu sahaja apabila Rahmat (bukan nama sebenar) diberitahu dia masih berihram dan tidak boleh menikahkan anak perempuannya.Suasana rumah yang mulanya tenang bertukar riuh apabila tetamu yang hadir berbisik sesama sendiri melihat sikap Rahmat yang tetap ingin menikahkan anak perempuannya walaupun telah dinasihatkan tidak boleh berbuat demikian.
 
Rahmat yang pada mulanya berdegil akhirnya mengalah selepas dinasihatkan oleh isterinya (Fatimah) yang mengingatkan dia peristiwa yang terjadi sehingga membatalkan ibadat umrah mereka kira-kira dua minggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung.
Hanya air mata pasangan pengantin yang telah lengkap berpakaian nikah mampu menzahirkan kesedihan kedua-dua mempelai itu apabila Rahmat mengambil keputusan menangguhkan majlis pernikahan tersebut.
Menceritakan lanjut, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, begitulah situasi yang dialami oleh salah seorang pasangan jemaah haji kendalian Tabung Haji kerana mengambil mudah tuntutan melakukan ibadat umrah.
 
Beliau berkata, ibadat umrah yang diwajibkan kepada umat Islam untuk dilaksanakan dengan sempurna di samping perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan dipandang enteng oleh Rahmat yang menganggap mudah setelah selesai menunaikan fardu haji.
Mohd. Daud berkata, dikhabarkan Rahmat telah terbatal wuduk ketika sedang melakukan tawaf tetapi menganggap masih sah untuk meneruskan ibadah umrah tersebut sehingga selesai.
"Rahmat merupakan antara jemaah haji daripada kumpulan yang dijadualkan pulang akhir ke tanah air pada musim haji itu. Mengelakkan daripada membuang masa begitu sahaja di tanah suci, Rahmat ditemani Fatimah melakukan ibadat-ibadah sunat.
"Sehari sebelum berangkat pulang, Rahmat dan isteri mengikuti beberapa jemaah yang lain daripada kumpulannya melakukan umrah. Selepas berniat di miqat, jemaah akan melakukan tawaf sebelum bersaie dan bercukur.
 
"Kebetulan selepas beberapa pusingan tawaf, Rahmat terasa ingin terkentut. Dia menganggap tidak mengapa jika terkentut semasa tawaf mengikut fahaman mazhab selain Syafie. Dengan tidak bersalah Rahmat meneruskan pusingan tawaf sehingga selesai diikuti dengan rukun yang lain.
"Mengambil ringan perkara itu, Rahmat dan jemaah daripada kumpulannya melakukan tawaf wida' pada keesokan hari sebagai ibadat sunat tanda ingin meninggalkan rumah allah itu sebelum pulang ke tanah air," ujarnya.
Beberapa hari apabila pulang ke tanah air, seperti dijadualkan, masa yang dinanti-nanti tiba. Berlangsunglah majlis pernikahan anak perempuan Rahmat seperti dirancang iaitu selepas dia dan isteri pulang ke tanah air.
Rahmat yang telah bernekad untuk menikahkan anak perempuannya itu sebagaimana hal sama kepada anak perempuannya yang lain telah bersiap sedia di hadapan puluhan tetamu yang hadir.
Kadi yang dijemput menyempurnakan majlis pun memulakan acara dengan memberikan sedikit perkongsian ilmu pernikahan.
 
Memandangkan Rahmat baru pulang daripada tanah suci, kadi menjelaskan serba sedikit mengenai syarat wali untuk menikahkan seseorang iaitu salah satu daripadanya adalah tidak berihram haji ataupun umrah.
Tersentak daripada peringatan itu, Rahmat mula mempertikai apa yang dihujahkan oleh imam tersebut. Menganggap ibadah umrahnya sah walaupun terkentut dipertikaikan dengan bersandarkan beberapa mazhab yang lain.
 
Majlis berlangsung dalam suasana kekecohan yang berlaku. Selepas puas dipujuk, Rahmat mula sedar akan kesilapan dirinya mengambil keputusan membatalkan pernikahan tersebut.
"Walaupun mempunyai pilihan memberikan tanggungjawab itu kepada kadi, namun Rahmat berdegil ingin meneruskan hajatnya menikahkan anak perempuannya itu.
"Sehinggalah akhirnya dia mengambil keputusan membatalkan perkahwinan anaknya bersama pasangan yang telah melakukan pelbagai persediaan perkahwinan itu," jelasnya.
Majlis kenduri kahwin tetap dilangsungkan walaupun tanpa diserikan dengan kehadiran pasangan pengantin.
Akibat daripada perbuatannya itu, Rahmat turut dinasihatkan untuk kembali ke Mekah untuk qada dan menyempurnakan ibadat umrah yang telah tersalah itu.
Selain itu Daud berkata, Rahmat dan isteri juga harus membayar dam (denda) seekor unta jika melakukan hubungan suami isteri, sembelih kambing dan memberi sedekah kepada fakir miskin



0 Komentar untuk "Batal pernikahan kerana masih berihram"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info