Islam agama rasmi bukan peruntukan sia-sia

Kuala Lumpur: Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan bukan peruntukan sia-sia, kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad (gambar).
Beliau berkata, dengan adanya peruntukan itu Malaysia dikenali dunia sebagai negara Islam.Negara Islam contoh

"Di mata dunia, Malaysia bukan saja dilihat sebagai negara Islam semata-mata, malah negara Islam contoh abad ini. Malaysia juga dianggap contoh negara Islam maju zaman ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Islam dan tafsiran keperlembagaan oleh mahkamah di Malaysia pada Muzakarah Pakar bertajuk 'Malaysia: Kemelut negara Islam negara sekular' anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, Kerajaan Malaysia mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan perbankan, kewangan Islam dan takaful sehingga negara mendahului dalam bidang itu.
Katanya, rakyat juga boleh melakukan aktiviti keislaman termasuk membina universiti, kolej, masjid dan sekolah.

"Bayangkan jika tiada Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, bolehkah semua itu dilakukan?" katanya.

Mengenai tajuk muzakarah itu berkaitan negara sekular, Abdul Hamid merujuk kepada penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh melawan pendakwaan pada 1988, berkata dalam penghakiman itu perkataan secular dinyatakan tiga kali.

"Kali pertama dalam rangkai kata secular institutions ketika memetik buku karangan M B Hooker. Dua kali lagi dalam rangkai kata secular law ketika merujuk kepada undang-undang yang berkuat kuasa pada hari kemerdekaan," katanya.

Abdul Hamid berkata, penghakiman menggunakan perkataan secular bukan menggambarkan negara tetapi menggambarkan institusi dan undang-undang.

Penggunaan tak tepat

"Pada pandangan saya, penggunaannya tidak tepat dan perkataan itu tidak perlu digunakan. Disebabkan kepentingan politik dan kumpulan, ia kerap dipetik di luar konteks bagi mengatakan Malaysia negara sekular, sedangkan Perlembagaan Persekutuan tidak sekali pun menggunakan perkataan itu," tegasnya.

Merujuk kepada penghakiman kes itu yang didengar lima hakim dan ditulis bekas ketua hakim negara, Tun Salleh Abas, Abdul Hamid berkata, beliau bersetuju dengan penghakiman itu bahawa Perkara 3(1) tidak dengan sendirinya menjadikan undang-undang bercanggah dengan syariah tidak sah dan batal.


0 Komentar untuk "Islam agama rasmi bukan peruntukan sia-sia"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info