Shah Alam: Kerajaan PKR Selangor dijangka mengumumkan pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) oleh anak syarikat kerajaan negeri (GLC), hari ini.

Menurut sumber, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Sumber itu juga mendakwa, jika rancangan kerajaan negeri untuk mengambil alih SYABAS melalui anak syarikatnya ditentang Kerajaan Pusat, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah.

Tidak dedah anak syarikat

Bagaimanapun, anak syarikat kerajaan negeri yang mana yang akan mengambil alih SYABAS tidak didedahkan.

Rabu minggu lalu, Abdul Khalid dilaporkan berkata, Kerajaan Pusat sebagai pemegang saham emas SYABAS, perlu menggunakan kuasanya supaya syarikat konsesi air itu menerima tawaran pembelian Kerajaan PKR Selangor.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat tawaran pembelian kepada empat syarikat konsesi air, termasuk SYABAS bagi menyelesaikan segala isu penstrukturan semula industri air, minggu depan.