Mini Cooper turun RM30,000

KULIM 13 Jun - Usaha kerajaan untuk menurunkan harga kereta di pasaran tempatan terus menampakkan hasil.
Terbaharu, kereta kompak ternama, Mini, memperkenalkan dua model iaitu Mini Cooper Countryman dan Mini Cooper S Countryman ALL4 dengan harga terbaharu masing-masing RM218,888 dan RM258,888.
 
Bagaimanapun, harga baharu itu masih merupakan cadangan daripada BMW Malaysia dan ia tertakluk kepada kelulusan kerajaan.
Harga terbaharu itu membabitkan penurunan harga sehingga RM30,000 berbanding harga sebelum ini.
Harga terdahulu dua model itu bernilai RM248,888 dan RM268,888.
Penurunan harga itu didorong oleh langkah pemasangan tempatan (CKD) terhadap dua model Mini Cooper tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils berkata, Mini Countryman yang dikendalikan di kilang kenderaan pemasangan tempatan yang dikongsi bersama-sama anak syarikat Sime Darby Bhd., Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom), dekat sini itu diperkenalkan bagi memastikan wujudnya bekalan yang optimum untuk jenama Mini di pasaran negara ini.
 
Selain itu, katanya, pengenalan kenderaan Mini pemasangan pertama di negara ini juga bertujuan untuk mengurangkan kos keseluruhan pemilikan di samping mengekalkan standard kualiti premium sedia ada.
Pengenalan Mini Countryman yang baharu menandakan model kelima yang menyertai portfolio kenderaan BMW Malaysia. Ia juga mengukuhkan lagi pelaburan dan komitmen pengeluar kereta premium di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran model terbaru itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Kedah, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail di sini hari ini.
 
Yang hadir bersama ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Ketua Bahagian Pengurusan CKD BMW Group, Michael Gallmann.
 
Pils berkata, Mini Countryman baharu pemasangan tempatan itu secara keseluruhannya sama dengan kereta yang diimport kerana dibina menggunakan strategi yang menggabungkan teknologi dan casis termaju.
Tambah beliau, Mini Countryman tersebut didatangkan dalam dua siri pilihan enjin 1.6 liter iaitu Mini Cooper Countryman dan Mini Cooper S Countryman ALL4.


0 Komentar untuk "Mini Cooper turun RM30,000"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info