MRT ke Putrajaya

KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Berkapasiti (MRT) jajaran ke-dua dan ke-tiga dijangka meliputi kawasan Putrajaya, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Katanya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kini sedang membuat kertas kerja mengenai jajaran ke-dua dan ke-tiga MRT yang akan dibentangkan kepada kerajaan untuk mendapat kelulusan.
"Kita menjangkakan akan ada berita baik (kelulusan dari kerajaan) pada hujung tahun ini," katanya selepas melawat Kuarter Penempatan Pekerja Berpusat (CLQ) MRT di sini. hari ini.


Yang turut hadir ialah wakil-wakil kedutaan pekerja yang terbabit dalam pembinaan MRT antaranya Kemboja, Vietnam, Nepal dan Pakistan.

Menurut Azhar, kertas kerja oleh SPAD dijangka merangkumi jajaran ke-dua dan ke-tiga tetapi pengumuman perlaksanaan bergantung kepada kerajaan sama ada secara sekali gus atau satu per satu.

Beliau turut memberi gambaran bahawa jajaran ke-dua berkemungkinan bermula dari Sungai Buloh ke Putrajaya manakala jajaran ke-tiga akan mengelilingi Lembah Klang.

Sementara itu, mengenai CLQ, Azhar berkata, pembinaan pusat berkenaan adalah untuk menyediakan kemudahan tempat tinggal yang selesa kepada pekerja-pekerja MRT yang datang dari pelbagai negara.
Katanya, pada kemuncak pembinaan MRT, dijangkakan 13,000 pekerja akan terbabit dalam projek berkenaan.

Untuk menampung tempat tinggal pekerja-pekerja berkenaan, MRT Corp membina CLQ di empat tempat; Sungai Buloh, Cochrane, Cheras dan Kajang, dengan kos lebih kurang RM100 juta, yang mampu untuk menampung 12,000 pekerja, katanya.

Selain tempat tinggal, katanya CLQ turut dilengkapi dengan surau, pusat kesihatan, kafeteria, kawasan rekreasi, kedai runcit selain sistem keselamatan canggih yang menggunakan sistem pengecaman muka.

MRT jajaran pertama, yang dijadualkan siap pada Julai 2017, mampu untuk membawa 400,000 penumpang sehari dan dijangka memberi manfaat kepada 1.2 juta orang yang tinggal di sepanjang laluan Sungai Buloh-Kajang.


0 Komentar untuk "MRT ke Putrajaya"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info