'MARA Edu Bizz Park' akan bekal tenaga kerja mahir kepada Airbus

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Airbus, dalam masa terdekat bagi membekalkan tenaga kerja mahir dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih pesawat (MRO) kepada syarikat aeroangkasa berpangkalan di Perancis itu.Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, berkata langkah itu sejajar dengan hasrat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Airbus untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perkhidmatan MRO pesawat keluarannya yang beroperasi di rantau Asia, tidak lama lagi.

Katanya, Airbus memilih untuk mengadakan usaha sama itu kerana menyedari potensi yang ada di kalangan lepasan institut kemahiran dan pusat latihan di bawah MARA, terutama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL MIAT).

Dapat kepercayaan

"Kita bangga kerana dengan adanya UniKL dan UniKL MIAT, Malaysia mendapat kepercayaan daripada Airbus untuk membuka hab perkhidmatan MRO dan melebarkan perniagaan mereka ke sini.

"Kita percaya MARA mampu memenuhi keperluan tenaga kerja mahir diperlukan oleh Airbus kerana setiap tahun UniKL dan UniKL MIAT melahirkan kira-kira 400 pekerja mahir dalam pelbagai bidang berkaitan termasuk mekanikal, MRO, kejuruteraan avionik dan komposit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil, diploma dan ijazah pertama kepada lebih 800 graduan dalam pelbagai bidang sempena Majlis Konvokesyen UniKL ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Annuar menambah, MARA akan menghantar delegasi diketuai Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad ke Toulouse, Perancis, pada bulan depan untuk mengadakan perbincangan dengan Airbus berhubung keperluan dan syarat yang perlu dipenuhi, sebelum MoU itu ditandatangani kedua-dua pihak.

Adakan perbincangan

"Pemergian mereka (delegasi MARA) ke Perancis harus diberikan keutamaan selepas Malaysia dipilih sebagai hab perkhidmatan MRO bagi Airbus di rantau Asia dan ASEAN. Kita harap kita dapat memperincikan keperluan dan bidang pengkhususan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh Airbus.

"Selepas itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan wakil pelbagai pusat latihan dan kemahiran di bawah MARA bagi mengenal pasti tenaga kerja mahir serta relevan seperti diperlukan oleh Airbus terutama dalam bidang MRO, kejuruteraan avionik dan komposit," katanya

Annuar berkata, MARA juga akan membangunkan taman perindustrian aeroangkasa pertama di negara ini yang dikenali sebagai 'MARA Edu Bizz Park' di Subang Jaya, Selangor.

Katanya, taman perindustrian itu yang disasarkan mula beroperasi pada 2016 menggunakan model gabungan antara perusahaan aeroangkasa dan institusi pendidikan berkaitan sektor itu.

Apabila beroperasi kelak, 'MARA Edu Bizz Park' mampu menempatkan sehingga 10,000 tenaga kerja terdiri daripada jurutera aeroangkasa, sekali gus berupaya melonjakkan industri itu ke tahap lebih tinggi di negara ini.


0 Komentar untuk "'MARA Edu Bizz Park' akan bekal tenaga kerja mahir kepada Airbus"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info