Maybank - keluar duit tanpa kad?

Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangka perkhidmatan pengeluaran tanpa kad yang baru diperkenalkan mencatat sebanyak 20,000 transaksi sebulan bagi tahun pertama, disebabkan semakin meningkatnya bilangan pengguna telefon pintar dan perbankan dalam talian di sini.Ia merancang untuk memperluas perkhidmatan ini ke pasaran-pasaran lain, bermula dengan Singapura, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawalan atur, kata bank komersial terbesar di Malaysia itu, dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Maybank melancarkan perkhidmatan pengeluaran tanpa kad melalui mesin juruwang automatik (ATM), yang merupakan perkhidmatan pengeluaran pertama seumpamanya di sini yang membolehkan pengeluaran dibuat tanpa kad ATM.

Keluar duit tanpa guna kad!

"Setiap bulan, lebih 45 juta transaksi dibuat melalui lebih 2,800 ATM Maybank. Pada masa yang sama, lebih 100 juta transaksi dikendalikan melalui Maybank2u setiap bulan," kata Datuk Lim Hong Tat, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Maybank Singapura.

"Bilangan transaksi menerusi kedua-dua saluran menyediakan anggaran bagaimana ramainya pengguna yang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan baharu ini," katanya.

Perkhidmatan baharu ini membolehkan pelanggan yang mempunyai akaun perbankan dalam talian memindahkan wang secara terus kepada mana-mana orang di Malaysia, dengan menggunakan nombor telefon mudah alih pendaftaran tempatan.

Selepas menerima dua nombor pengenalan transaksi (ID), penerima kemudiannya boleh mengeluarkan wang tunai dari mana-mana ATM Maybank -- tanpa kad ATM.

ID itu sah bagi hanya 24 jam dan pengeluaran dibenarkan dalam jumlah tetap RM100, RM200 atau RM300, dengan RM300 ditetapkan sebagai had maksimum harian, kata Maybank.

Caj minimum sebanyak RM1 dikenakan ke atas penghantar, tetapi caj ini dikecualikan dari sekarang hingga 28 Feb, kata bank itu.

Selama 30 hari mulai esok, Maybank menawarkan wang tunai sebanyak RM500 kepada tiga pelanggan bertuah yang berjaya melakukan transaksi pengeluaran tanpa kad setiap hari. - Bernama



0 Komentar untuk "Maybank - keluar duit tanpa kad?"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info