Diva Berjanggut Tidak Hirau Pandangan Negatif

alt
 
VIENNA 12 Mei - 'Diva' berjanggut, Conchita Wurst yang memenangi Pertandingan Eurovision kelmarin kini dikenal di seluruh dunia bukan saja kerana suaranya yang lunak, malah disebabkan pendiriannya berhubung isu yang sarat dengan kontroversi.
 
Terkenal dengan pakaian glamor dan rambut panjang yang digandingkan dengan janggut, pondan bersifat lemah-lembut itu yang mewakili Austria memikat hati peminat di seluruh Eropah dengan persembahan ala bintang klasik Shirley Bassey ketika pertandingan di Copenhagen itu malam kelmarin.
 
Bagaimanapun, pengkritik - terutama di Eropah Timur dan Russia - menyelarnya sebagai sesuatu yang menjijikkan malah mendesak supaya Wurst disingkirkan.
 
Namun itulah sebenarnya yang ingin dicapai Wurst, 25 , atau nama sebenarnya Tom Neuwirth, iaitu menggunakan suaranya bagi menyebarkan mesej toleransi.
 
"Memang saya sengaja mencipta watak ini untuk membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa kita boleh melakukan apa saja yang diingini.
 
"Selagi tidak menyakitkan sesiapa, buatlah apa yang anda mahu," katanya di sidang media di Copenhagen semalam.
 
Dalam laman webnya, Conchita menggambarkan dua wataknya itu sebagai individu berbeza dengan kisah tersendiri, namun ingin menyampaikan mesej supaya manusia lebih mengamalkan toleransi dan menentang diskriminasi.
 
"Malah itu juga sebabnya saya memilih nama berkenaan," katanya.
 
Menurut Conchita, namanya diilhamkan daripada perkataan bahasa Jerman, es ist wurst (bererti 'ia tidak penting').
 
Conchita lahir pada 6 November 1988 dan terkenal di Austria sejak mengambil bahagian dalam rancangan Starmania pada 2006.
 
Dia juga pernah menyertai kumpulan muzik bersama beberapa rakan namun gagal mencapai populariti sebelum mencipta personaliti Conchita pada 2011 dan mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan sebelum akhirnya terpilih mewakili Austria 2014.
 
Conchita juga terkenal di Austria walaupun negara itu lebih konservatif berbanding di negara Eropah lain.
 
Malah, media tempatan menunjukkan sokongan terhadapnya selepas wakil Armenia ke Eurovision Aram MP3 mendakwa gaya hidup Conchita sebagai 'tidak normal".- AFP


0 Komentar untuk "Diva Berjanggut Tidak Hirau Pandangan Negatif"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info