Kanser bukan penamat kehidupan

DI  sebalik ketenangan dan kelembutan wajah Hasnah Abdullah, 50, tersimpan 1001 kepahitan hidup yang terpaksa ditempuhinya setelah disahkan mengidap kanser payudara sekitar tahun 2007.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak semua orang mampu berlaku tabah saat menerima perkhabaran mengejutkan itu, bahkan ada yang menangis dan merintih sayu mengenang nasib diri lebih-lebih lagi kanser dianggap sebagai penyakit yang tiada penawar dan berakhir kematian.

Saya terkedu, terdiam ketika doktor mengesahkan hasil pemeriksaan susulan disahkan kanser payudara tahap dua. Biarpun sukar untuk menerima hakikat sebenarnya namun air mata enggan mengalir di saat itu kerana diri pasrah dan redha dengan dugaan dan ketentuan Allah.

ALLAH ingin menguji saya. Pengalaman perit ini bermula pada suatu hari apabila saya mengesan wujud kelainan seperti ada ketulan kecil bersaiz duit syiling 10 sen di kawasan bahagian atas payudara sebelah kanan.

Berubat kampung

Pada awalnya, saya memikirkan ia bukan penyakit serius kerana ia kelihatan seolah-olah kematu sahaja. Jadi, saya menjalani rawatan kampung dan tradisional untuk mengubatinya. Saya dibekalkan sedikit bedak sejuk untuk disapukan pada bahagian tersebut.

Namun selang sebulan kemudian, saya mula perasan ketulan itu masih ada dan segera melakukan pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan Pokok Sena yang berhampiran sebelum diminta merujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, bagi pemeriksaan lanjut sekitar Disember 2007.

Doktor melakukan biopsi dengan menggunakan jarum untuk mengambil sebahagian kecil tisu daripada ketumbuhan di payudara. Selang dua minggu kemudian saya menjalani sekali lagi biopsi yang lebih terperinci.

Terima panggilan hospital

Rutin harian diteruskan seperti biasa dalam tempoh sebulan lebih sementara menunggu hasil pemeriksaan dilaksanakan. Pada tanggal, 24 Februari 2008, penantian saya berakhir dengan berita memeritkan apabila pihak hospital meminta saya kehospital dan
mengesahkan ia kanser payudara.

Tidak ada perkataan terkeluar dari mulut sselain minda menerawang jauh memikirkan pelbagai kemungkinan buruk yang terpaksa saya hadapi di masa hadapan.

Doktor menyarankan supaya menjalani pembedahan membuang payudara kanan untuk menggelakkan saki
baki sel kanser merebak, namun perasaan saya mula bercampur baur sedih sebak.

Mujurlah beberapa kakitangan hospital memahami situasi dan segera memberi kata semangat serta sokongan dengan menunjukkan beberapa keping gambar pesakit yang sudah berjaya melalui pembedahan.

Enggan membiarkan penderitaan berlarutan, saya bersetuju untuk membuat pembedahan pada keesokkan harinya.

Sewaktu dalam bilik pembedahan saya masih sempat menaruh sedikit harapan dengan meminta doktor hanya membuang ketumbuhan sahaja namun setelah diberi penjelasan akhirnya mengizinkan doktor melakukan apa sahaja bagi memastikan kesihatan kembali stabil.

Jalani kemoterapi

Terus-terang sepanjang tempoh menjalani rawatan kimoterapi, ekuatan mental dan fizikal amat diperlukan. Tanpa sokongan kuat daripada orang sekeliling termasuk keluarga terdekat kadang kala boleh melemahkan semangat saya sebagai pesakit.

Saya amat beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat mengambil berat dan prihatin dengan diri ini.

Bukan sahaja suami tetapi juga ibu bapa serta adik-beradik. Teringatkan anak-anak yang masih kecil ketika itu, saya semakin semangat melawan rasa sakit dan mahu segera sembuh.

Saya menjalani enam kali rawatan kemoterapi selang 20 hari. Saya juga tidak terkecuali mengalami beberapa kesan sampingan rawatan seperti mual, tidak lalu makan dan rambut gugur. Berat badan juga susut kerana kurang selera.

Sewaktu menjalani rawatan kali keempat, keadaan kesihatan semakin merosot apabila kerap demam disebabkan panas badan. Memang perit mahu menghabiskan baki rawatan tetapi demi suami dan anak-anak saya kuatkan semangat diri.

Masuk hospital sebulan

Sebulan selepas selesai rawatan kemoterapi, saya diminta ke Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang untuk menjalani sesi radioterapi selama 25 kali di pusat rawatan berhampira. Ia untuk mematikan sel-sel kanser pada bulan Disember 2008.

Berkat semangat juang yang tinggi, saya mengharungi tempoh lima tahun ini dengan tabah dan cekal(2009 hingga 2013).

Syukur pada Allah kerana masih panjangkan usia saya hingga ke saat ini dan mampu melihat anak-anak menjejakkan kaki ke menara gading. Tahap kesihatan juga semakin baik dan selera makan makin bertambah.

Apabila ada masa lapang saya tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti dan program keagamaan kerana tinggal di kuartes tempat kerja suami di Pokok Sena. Saya juga turut menjadi sukarelawan Makna bagi berkongsi semangat dengan orang lain.


0 Komentar untuk "Kanser bukan penamat kehidupan"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info