My Best Buy - usahawan tani

Inisiatif kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat melalui 'My Best Buy' kini beroperasi di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.
   
Ketua Unit Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Mohd Arif Adenan berkata usahawan akan berada di lokasi berlainan di Putrajaya setiap minggu mengikut jadual yang ditetapkan.
   
Katanya setakat ini program itu yang menawarkan barangan pada harga lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran biasa diadakan di lebih 10 lokasi di seluruh negara.
   
"Kami merancang untuk beroperasi di 200 lokasi di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di lobi MOA, di sini.
   
Inisiatif My Best Buy diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dilaksana oleh MOA berdasarkan konsep NBOS dengan kerjasama Kementerian Kewangan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Program itu melibatkan penyertaan secara langsung Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dengan jualan barangan hasil laut, sayur-sayuran dan barangan runcit.
   
Menurut Mohd Arif program itu melahirkan 1,748 usahawan daripada sektor pertanian, industri asas tani, perikanan, ternakan dan fertigasi yang menjana pendapatan ribuan ringgit setiap kali berniaga.
   
"Kita menyasar untuk melahirkan 1,200 usahawan baharu berumur 18 hingga 40 tahun melalui Program Agropreneur Muda menjelang akhir tahun ini di seluruh negara melalui Program My Best Buy," katanya.
   
Beliau berkata, program My Best Buy juga diadakan di lokasi seperti hospital, premis Pusat Transformasi Bandar (UTC), projek perumahan rakyat dan kawasan industri.


0 Komentar untuk "My Best Buy - usahawan tani"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info