Milik 2 syarikat pada usia 16 tahun

SIAPA sangka pada usia baru mencecah 16 tahun, dia telah memiliki dua buah syarikat sendiri yang menjalankan perniagaan berskala besar dan melibatkan orang ramai.

Tatkala anak-anak seusianya masih ligat bermain dan memerlukan ibu bapa menyara hidup, Hazym Zulkarnine sudah pun selesa mencari duit sendiri dan berniaga dari awal.

Anak sulung daripada empat beradik ini, mula belajar berniaga semasa mengikut bapanya berhijrah ke Manchester, United Kingdom (UK). Bapanya membuka sebuah restoran makanan Melayu di sana.

Sejak itu, minat berniaga mekar sehingga melayakkannya dihantar ke China bersama empat lagi rakannya mewakili UK untuk mempelajari selok-belok perniagaan di negara itu ketika berusia 10 tahun.

Apabila keluarganya pulang ke tanah air, dia mula memikirkan apakah perniagaan yang boleh dilakukannya. Perkara pertama yang dilakukan adalah menjalankan perniagaan membaik pulih telefon bimbit. Ketika itu Hazym baru berusia 12 tahun.

"Saya seboleh-bolehnya ingin cuba berniaga pada peringkat awal dengan merasai sendiri jatuh 

bangun dalam perniagaan. Walaupun saya masih belum dapat mendaftar perniagaan kerana belum cukup umur, namun sokongan keluarga membolehkan bapa mendaftarkan syarikat buat saya.

"Saya berperanan mengurus dan menjalankan perniagaan berteraskan dua bidang yang saya minati iaitu kreatif dan juga acara dengan nama MH Event Creative dan MH Media Creative," katanya.

Perniagaan pertama yang dijalankan dibawah MH Media Creative adalah melancarkan majalah berjudul BJ Times yang dikhususkan kepada penduduk di sekitar kawasan kejiranan Bukit Jelutong, Shah Alam.

Majalah ini menyediakan pelbagai penulisan yang menarik untuk warga Bukit Jelutong seperti kisah-kisah kejiranan terkini, tip-tip berguna dan pelbagai lagi informasi untuk penduduk sekitarnya.

Di bawah syarikat MH Event Creative pula, Hazym menganjurkan acara Endurance 120 Go Karting Tournament 2014 yang disertai 14 buah sekolah dan lima buah rumah anak yatim di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Acara ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar sekolah melibatkan diri dalam acara sukan permotoran yang kini menjadi salah satu kegemaran anak-anak muda.

Penglibatan anak-anak yatim pula bertujuan memberikan peluang kepada golongan itu merasai sendiri sukan tersebut, selain ingin beramal.

"Tidak dinafikan, saya seringkali berhadapan dengan mereka yang tidak percaya dengan kemampuan saya dalam menjalankan perniagaan. Namun dengan berkat usaha dan peluang yang diberikan, saya mampu menunjukkan hasil yang setimpal.

"Saya cuba buktikan umur bukan penentu segalanya. Kualiti kerja yang saya lakukan seperti mereka yang berumur 35 tahun walaupun usia saya baru 16 tahun," jelasnya.

Baru-baru ini, Hazym juga telah dianugerahkan sebagai Ikon Usahawan Muda oleh Social Enterprise Malaysia yang memberi peluang kepada usahawan berkhidmat untuk masyarakat.

Kejayaan Hazym menjadi bukti bahawa umur bukan faktor penghalang untuk berjaya. Pelbagai cara boleh dilakukan jika generasi muda mempunyai minat dan keinginan untuk berjaya, tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun.

"Jangan takut untuk melakukan sesuatu. Jika boleh, mula dari awal agar kita mempunyai lebih banyak masa untuk jatuh dan bangun semula. Seorang usahawan yang tidak pernah jatuh, tidak akan berjaya seperti mereka yang pernah jatuh," katanya.



0 Komentar untuk "Milik 2 syarikat pada usia 16 tahun"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info