PDRM mungkin anjur The Biggest Loser

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan akan menganjurkan program menurunkan berat badan ala rancangan realiti terkenal The Biggest Loser untuk mengatasi masalah kegemukan melampau yang dialami oleh segelintir anggota serta pegawai polis.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Moha­mad Fuzi Harun berkata, cada­ngan itu akan dikaji setelah impak yang diterima berdasarkan pendedahan dan laporan yang dibuat Utusan Malaysia, sejak beberapa hari ini.


Katanya, laporan akhbar sejak kebelakangan ini mengenai isu tersebut ternyata memberi kesan kepada anggota keluarga polis untuk mengambil berat tentang isu obesiti dan masalah kesihatan yang dialami mereka.


"Maklum balas terhadap laporan itu amat ketara kerana ramai polis kini mulai bimbang terhadap masalah kegemukan yang dialami mereka. Saya sendiri tidak me­nyangka ia memberi kesan kepada semua warga PDRM.


"Disebabkan itulah, saya dan Jabatan Pengurusan akan me­nimbangkan pelbagai perkara termasuk cadangan yang dirasakan bersesuaian untuk mengatasi masalah obesiti ini. Mungkin kami akan lakukan program seperti rancangan The Biggest Loser kepada polis yang mempunyai berat badan berlebihan ini.



"Kita akan memanggil mereka dan mengaturkan satu program kesihatan serta mencari formula supaya mereka dapat menguruskan badan selain mengekalkan tahap kesihatan di tahap yang baik," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

The Biggest Loser merupakan siri realiti terkenal dari Amerika Syarikat (AS) yang menggalakkan peserta bersenam secara ekstrem dan sihat untuk kurus.


Mohamad Fuzi sebelum ini, mengatakan seramai 32 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara meninggal dunia setiap bulan sejak Januari lalu dengan majoritinya berpunca daripada penyakit tiga serangkai iaitu jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi yang mempunyai kaitan dengan masalah obesiti.


Malah, beliau juga memberitahu, anggota dan pegawai yang mempunyai masalah obesiti melampau akan diberi peringatan tegas dan peluang kenaikan pangkat mereka juga boleh terjejas.


Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi juga akan mengarahkan Ketua Polis Daerah (OCPD) dan Ketua Polis Balai (OCS) untuk memantau anggota serta pegawai mereka yang mempunyai masalah kegemukan melampau.

"Sebelum ini, kita sememang­nya mengarahkan OCPD dan OCS supaya menggalakkan aktiviti beriadah di kalangan polis di bawah jagaan mereka kerana kita tidak mahu seorang polis dipandang hodoh oleh masyarakat kerana gemuk atau boroi ketika menyarung pakaian seragam.


"Kita mungkin mencadangkan mereka untuk melaporkan polis yang mempunyai masalah obesiti atau masalah kesihatan ini untuk tindakan lanjut," katanya.

Mengulas tentang cadangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya PDRM mengadakan latihan fizikal semula kepada setiap polis, Mohamad Fuzi memberitahu, cadangan itu adalah baik namun perlu dinilai kerana membabitkan peruntukan kewangan.

Katanya, ekoran laporan Utusan Malaysia itu juga, beliau mendapat maklumat bahawa ramai pegawai polis telah memulakan aktiviti bersenam dan sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk ke arah itu.


"Saya dapat tahu, mereka mulai membeli alat-alat senaman seperti basikal serta berjoging untuk kekal cergas dalam beberapa hari ini," katanya.



0 Komentar untuk "PDRM mungkin anjur The Biggest Loser"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info