Kelantan hilang sentuhan juara

KOTA BHARU - Juara bertahan, Kelantan berkemungkinan besar terpaksa melepaskan kejuaraan liga musim ini selepas tumbang 1-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam.
Kekalahan yang meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan di gelanggang sendiri sejak dua tahun lalu, menyulitkan usaha The Red Warriors untuk mencabar pendahulu liga, Lions XII yang dibezakan dengan 10 mata.

Kelantan kini berada di tangga kelapan hasil tiga kemenangan daripada 12 perlawanan yang dilalui setakat ini.
Meskipun tumbang dalam perlawanan tersebut, pengendalinya, Bojan Hodak tetap mempertahankan persembahan yang dipamerkan oleh barisan pemainnya.
Menurutnya, walaupun berjaya mencipta peluang di babak pertama, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila peluang tersebut gagal disudahkan dengan baik.

"Bertemu dengan pasukan yang penuh pengalaman bukanlah satu tugas mudah. Walaupun hanya mempunyai beberapa peluang, namun mereka berjaya memanfaatkan sebaik mungkin dengan menjaringkan gol pada perlawanan tersebut menerusi serangan balas pantas.
"Anda boleh lihat ketiadaan Obinna, semua orang bercakap mengenainya begitu juga Dickson Nwakaemi. Bagi saya kedua-dua pemain ini amat diperlukan oleh pasukan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Mengulas mengenai kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan mudanya, Nik Shahrul Azim Ab. Halim, Hodak tetap mempertahankan persembahan pemain tersebut.
Katanya, kesilapan tersebut akan mematangkan lagi persembahan pemain muda tersebut di masa hadapan.
"Saya yakin Nik Shahrul mampu beraksi lebih baik di masa hadapan, lagipun dia masih muda dan perlu terus diberikan pendedahan bagi memantapkan lagi persembahannya," tegas Hodak.



Related Post

0 Komentar untuk "Kelantan hilang sentuhan juara"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info