Sarkas diharam guna haiwan liar

Northamptonshire: Persembahan Sarkas di Britain akan diharam daripada menggunakan haiwan liar menerusi undang-undang yang akan dipinda.
Rang undang-undang mengenainya akan dibentangkan dan ia akan menyaksikan pengharaman penggunaan haiwan liar eksotik. Hanya binatang domestik seperti arnab, anjing dan kuda dibenar melakukan persembahan.
Langkah itu dibuat selepas akhbar Daily Mail mendedahkan kekejaman yang dilakukan ke atas seekor gajah, Anne yang hidup dirantai. Pemiliknya Bobby Roberts didapati bersalah atas tuduhan melakukan kekejaman ke atas haiwan selepas rakaman secara sulit menunjukkan Anne ditendang dan dipukul dengan serampang peladang.
Perbuatan itu mencetuskan bantahan dan pada Jun 2011 anggota Parlimen memutuskan tanpa mengundi mengarahkan menteri terbabit mengenalkan pengharaman penggunaan haiwan liar di sarkas pada 2012.
Aktivis hak asasi haiwan sejak sekian lama mendesak kerajaan mengharamkan penggunaan haiwan seperti kuda belang, singa, harimau, ular dan buaya.
Kerajaan Britain memperkenalkan sistem lesen tahun lalu sebagai langkah sementara dengan pemilik sarkas perlu mendapatkan kebenaran menggunakan haiwan seumpama itu.
Bobby dipercayai memohon lesen mengadakan persembahan dengan haiwan seumpama itu, tetapi gagal memperolehnya. Pengkritik berkata, ia menunjukkan kerajaan melakukan kesilapan besar dalam menawarkan skim itu.


Related Post

0 Komentar untuk "Sarkas diharam guna haiwan liar"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info