Bajet 2013 - BR1M 2.0 merangkumi individu bujang

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) buat kali kedua, dengan kriteria penerima diperluas kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, yang akan menerima bantuan RM250.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bantuan yang dikenali sebagai BR1M 2.0 itu melibatkan peruntukan RM3 bilion dan mula dibayar awal tahun depan itu akan memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang.
 
Beliau berkata bagi memudahkan pelaksanaan, penerima sebelum ini tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua, manakala pemohon baru boleh mendaftar mulai November ini secara online atau datang sendiri ke kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara.
"Hakikatnya bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis, malah manifestasi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini.
BR1M 2.0 merupakan susulan kepada BR1M tahun ini yang menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah, yang membabitkan peruntukan kerajaan menjangkau hampir RM2.16 bilion. -


0 Komentar untuk "Bajet 2013 - BR1M 2.0 merangkumi individu bujang"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info