Kereta klasik dilelong

SEBUAH kereta klasik berwarna hitam dan merah terang yang dibeli oleh pelakon layar perak jelita, Margaret Lockwood, dengan cek pertamanya sebagai bintang filem, akan dilelong, Sabtu ini.
Kereta model Delage D6-70 Tourer buatan 1938 daripada zaman keemasan panggung, dibeli oleh pelakon itu pada Pameran Motor London, tahun itu.
Ia dijangka mencapai harga 50,000 pound (RM247,950) di jualan kereta Bonhams Beaulieu di Hampshire, seminggu sebelum hari jadi Margaret ke-96.

Margaret, pernah mendapat anugerah CBE, menjadi bintang pecah panggung pada tahun 1940-an.

Beliau pernah membintangi filem seperti "The Lady Vanishes" (1938), "Night Train to Munich" (1940), "The Man in Grey" (1943), "The Wicked Lady" (1945) dan "Cast a Dark Shadow" (1957).

Margaret meninggal dunia akibat penyakit sirosis hati di London pada 15 Julai 1990 dan ketika itu berusia 73 tahun. Beliau dilahirkan pada 15 September, 1916
di Karachi, British India yang sekarang dikenali sebagai Pakistan dan membesar di Upper Norwood, selatan London.

Beliau belajar di Sekolah Tinggi Perempuan Sydenham sebelum meneruskan pengajian dalam teater di Italia Conti dan mula berlakon pada 1928, ketika usianya 12 tahun.

Selepas mendapat latihan seterusnya di Royal Academy of Dramatic Art di London dan mendapat peluang berlakon teater untuk pelbagai watak, beliau mula berlakon filem pada 1934 dan membintangi filem versi "Lorna Doone" pada 1935.

Pada 1938, beliau muncul bersama Michael Regrave dalam satu filem yang melonjakkan nama mereka: Filem Alfred Hitchcock, "The Lady Vanishes."

Dalam filem terakhir, beliau memegang watak ibu tiri dalam filem muzikal arahan Bryan Forbes, adaptasi Cinderella, "The Slipper and the Rose" pada 1976.

Kemunculan beliau di teater yang terakhir, sebagai Queen Alexandra dalam persembahan "Motherdear" yang dipentaskan selama enam minggu di Teater Ambassador pada 1980.

Pada tahun itu, beliau mendapat anugerah CBE dan kemunculannya untuk menerima anugerah itu di Istana Buckingham yang ditemani oleh tiga cucunya, merupakan kemunculan di khalayak ramai yang terakhir.

Sejak itu, Margaret tidak keluar dari rumahnya di Kingston upon Thames dan menolak semua jemputan dan tawaran kerja.


0 Komentar untuk "Kereta klasik dilelong"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info