06 November 2012

KFC dijual RM5.2b kepada JCorp dan KWSP

CADANGAN pengambilalihan operasi KFC di Malaysia kini mencapai kata putus apabila majoriti pemegang saham QSR Brands Bhd (QSR) dan anak syarikatnya, KFC Holdings (M) Bhd (KFCH), bersetuju menjadikannya syarikat persendirian menerusi penjualan keseluruhan asetnya kepada Massive Equity Sdn Bhd (MESB) pada harga AS$1.7 bilion (RM5.2 bilion).
Dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan semalam, 98 peratus daripada pemegang saham QSR bersetuju dengan cadangan penjualan itu, manakala pada EGM KFCH yang diadakan kelmarin, 99 peratus pemegang sahamnya turut menyatakan persetujuan dengan aktiviti pengambilalihan berkenaan.

Ini sekali gus membuka laluan untuk menjadikan KFCH syarikat persendirian dan dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia.
Bidaan untuk KFCH dan QSR dilakukan Disember tahun lalu oleh CVC Capital Partners dan Johor Corporation (JCorp).

MESB adalah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan bagi mengambil alih keseluruhan kepentingan QSR Brands dan KFCH yang memiliki rangkaian restoran makanan segera terbesar di Malaysia.

Pemegang saham utamanya ialah JCorp menerusi pegangan sebanyak 51 peratus, sementara baki 49 peratus dimiliki Melati Asia Holdings Ltd (MAHL) iaitu konsortium diterajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KWSP memiliki 51 peratus dalam MAHL, manakala selebihnya oleh CVC Capital Partners (CVC) iaitu syarikat pengurus dana yang berpangkalan di London.

Tiga bank pelaburan iaitu OSK Investment Bank, Affin Investment Bank dan AmMerchant Bank bertindak sebagai penasihat kepada urus niaga berkenaan.
Rancangan pelupusan itu juga masih tertakluk kepada kelulusan daripada Yum! Restaurant Asia Pte Ltd atau Yum! Asia Franchise Pte Ltd dan syarikat sekutunya.

Media sosial »»

No comments:

Post a Comment

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...