Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam menafikan badan induk itu bersikap berat sebelah dalam menangani isu kekecohan membabitkan pergaduhan antara pemain Selangor dan Tentera pada pusingan pertama Piala FA, 25 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan kepada media semalam, FAM menjelaskan laporan akhbar sebelum ini yang mendakwa ada campur tangan daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam kes berkenaan adalah tidak benar.
"Insiden ini adalah di bawah bidang kuasa jawatankuasa Tatatertib FAM, di mana Jawatankuasa lain seperti Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) tidak boleh mempengaruhi apa-apa keputusan yang akan, sedang atau sudah diambil," kata FAM dalam satu kenyataan semalam.


"Ini adalah selaras dengan kedudukan jawatankuasa tatatertib sebagai badan bebas di bawah Statut FAM. Pendakwaan terhadap kesalahan yang dilakukan semasa perlawanan boleh dibuat dalam masa dua tahun daripada tarikh kejadian, mengikut Perkara 6.1.1 Kod Tatatertib FAM dan juga selari dengan Artikel 42.1 Kod Disiplin Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Artikel Kod Disiplin 42.1 FIFA.

Teliti klip video

"Namun sehingga kini, FAM tidak pernah mengambil masa sehingga dua tahun untuk membuat pendakwaan."

BH Sukan sebelum ini melaporkan timbul persoalan adakah FAM mengamalkan sikap berat sebelah terutamanya membabitkan Pengerusi JKPT, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang turut menjawat Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).