Taktik kejam Israel

BANDAR GAZA - Serangan berdarah ke atas 50 buah balai polis di Palestin  menyebabkan 300 anggota polis maut sekelip mata sememangnya memberi kesan besar kepada penduduk negara itu pada  perang Furqan 2008-2009 yang lalu.

Peristiwa menyayat hati itu berlaku apabila Israel dengan 100 pesawat tempurnya melancarkan roket tepat ke arah balai-balai polis terbabit dalam usahanya untuk melumpuhkan sistem pertahanan negara itu.

Menurut penduduk tempatan Gaza, Hamed Yeusoff, 45, serangan yang berlaku pada waktu pagi itu turut menyebabkan kemusnahan besar kepada balai polis berkenaan.

"Israel menggunakan roket membedil Balai Polis Al-Abbas menyebabkan 14 anggota polis maut dalam kejadian jam 8.30 pagi itu," katanya.

Dia yang sudah berniaga di kawasan bandar Gaza sejak 10 tahun yang lalu berkata, serangan itu turut menyebabkan orang awam termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan.

Bangunan balai polis itu dibina semula sebelum dimusnahkan sekali lagi oleh tentera Israel pada peperangan Hajarol Sijjil, November 2012.

"Mujur polis yang bertugas sempat melarikan diri sebelum enam roket Israel tiba dan memusnahkan keseluruhan balai polis itu," katanya.

Dalam perang yang sama juga, Pejabat  Perdana Menteri Gaza, Dr Ismail Haniyah turut dibedil dengan roket Israel melalui jet F16 dan memusnahkan keseluruhan bangunan pentadbiran bandaraya itu pada Subuh 17 November 2012.

Penduduk tempatan,  Mohmed Al-Hessie, 30, berkata, serangan tersebut sengaja dilakukan Israel.

"Mereka merakamkan kejadian yang berlaku dan memuat naik di dalam laman You Tube seolah-olah meraikan serangan itu ,"katanya.

Dalam kejadian lain, sebuah bank di Jalan El-Wahda yang terletak di bandar Gaza  turut musnah selepas Israel mensasarkan enam roket ke bangunan tersebut dan beberapa bangunan kerajaan lain.

Turut musnah, pejabat Kelab Penyokong Syarikat Televisyen Al-Jazeera yang beroperasi di bangunan yang sama, namun tiada orang awam  cedera atau maut.

Sementara itu sebuah jambatan menghubungkan Palestin dan sempadan Rafah-Mesir  turut dibom oleh tentera Israel di dalam usahanya menyekat  penghantaran bantuan perubatan dan makanan dari luar.

Laluan ke sempadan Rafah -Mesir melalui bandar Khan Younis yang terletak di barat Gaza itu merupakan laluan utama, pun begitu kerja-kerja baik pulih  kini sedang giat dilakukan Kerajaan Palestin bagi membolehkan laluan itu digunakan semula.

Bagi mereka yang ingin menyumbang untuk tabung Stand Up For Gaza boleh berbuat demikian menerusi akaun Dana Kompleks Al-Itisam menerusi akaun Bank Islam 12038010108647 atau Tabung Gaza Mapim 08013010075820.


0 Komentar untuk "Taktik kejam Israel"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info