Siapa MB Selangor?

SHAH ALAM – Jawatan Menteri Besar Selangor dilihat lebih layak disandang calon daripada Pas kerana parti itu berjaya memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 14 kerusi.
Biarpun DAP juga menguasai 15 kerusi DUN, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menetapkan calon Menteri Besar hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam.
DAP, Pas dan PKR yang bakal membentuk kerajaan di negeri itu berjaya memperoleh 44 daripada 56 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Ahad lalu.
Melihat kepada kedudukan baik Pas dalam PRU-13, calon daripada parti tersebut sepatutnya diberi peluang menjadi Menteri Besar supaya dapat memperjuangkan agenda Islam yang dilaung-laungkan selama ini.
Ia termasuk menangani masalah sosial dengan menutup pusat-pusat urut dan hiburan yang dilaporkan semakin bercambah di Selangor selain meningkatkan syiar Islam melalui institusi masjid, surau dan sekolah agama.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR disebut-sebut bertegas mahu meneruskan jawatannya itu.
Mengulas lanjut isu tersebut, Setiausaha Agung Jalur Tiga yang juga aktivis Pas, Norman Toha mendesak PKR dan DAP memberi laluan kepada pemimpin Pas untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
"Berdasarkan komposisi kerusi di antara Pas dengan PKR, maka Pas perlu menyatakan pendirian bahawa jawatan Menteri Besar Selangor harus dalam kalangan pemimpin Pas sendiri, bukan PKR," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman berkata, pihaknya akan menghantar senarai nama calon Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri daripada parti itu kepada Pas Pusat untuk dibincangkan.
"Terpulang kepada Pas Pusat dan Pakatan Rakyat menentukan siapa layak menjadi Menteri Besar," katanya.
Abdul Khalid pula menafikan namanya disebut-sebut layak terus menjadi Menteri Besar.
Jelasnya, Pakatan Rakyat akan mengambil masa seminggu untuk menentukan siapa yang layak mengisi jawatan itu.
 


Related Post

0 Komentar untuk "Siapa MB Selangor?"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info