Kuantan: Misi balas dendam menjadi fokus utama skuad kendalian Dollah Salleh apabila melayan kunjungan Selangor di Stadium Darulmkamur, malam esok.
Kekalahan tipis 2-3 pada pusingan pertama Liga Super masih lagi dirasai pemain Tok Gajah dan pertemuan kali kedua musim ini diharap memihak kepada tuan rumah berdasarkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Bagi pemain tengah, Azamuddin Mohd Akil, dia percaya prestasi semasa skuad itu mampu menyekat skuad kendalian Irfan Bakti daripada membawa pulang mata.
Biarpun sedar peluang adalah 50-50, pemain kelahiran Lipis, Pahang itu tidak rela tiga mata terlepas kerana misi skuad itu adalah mendekatkan jurang mata dengan pendahulu liga.
"Namun, saya sedikit terkilan kerana kami berkemungkinan besar tidak dapat beraksi bersama Matias Conti kerana kecederaan hamstring yang dialami pemain import itu masih belum sembuh.
"Tetapi, saya serta rakan lain percaya jika komitmen tinggi dan semangat juang mampu dipersembahkan dengan baik, Pahang akan melangkah gembira meraih tiga mata di hadapan penyokong sendiri," katanya semalam.
Azamuddin turut mengesahkan akan bergandingan dengan Mohd Fauzi Rozlan di bahagian serangan dalam usaha membolosi gawang lawan yang diakui kebal.
Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Che Salleh Salleh berkata, kekalahan di tangan ASelangor lalu sememangnya menyentap semangat pemainnya tetapi mereka sudah bersedia untuk menggempur Selangor bagi meraih tiga mata berharga.
Katanya, prestasi yang kian meningkat dipamerkan pemain Pahang membuktikan pasukan kali ini lebih mantap untuk bersaing dengan pasukan teratas liga ketika ini.
"Bagi saya, pemain mampu melakar kejayaan jika komitmen tinggi dan corak permainan terbaik dapat dipersembahkan kerana pusingan kedua adalah penentu segalanya.
"Saya cuma mahu pemain bijak memanfaatkan segala peluang dan pada masa sama tidak membenarkan lawan membolosi gawang," katanya
0 Komentar untuk "Tok Gajah sasar Selangor"
Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...