Perwaja Steel diarah bayar RM146 juta kepada Petronas

Kes hutang PETRONAS bagi bayaran bekalan gas

Kuala Lumpur: Syarikat Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja Steel) diarahkan Mahkamah Tinggi di sini, semalam, membayar tunggakan hutang melebihi RM146 juta kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi pembayaran bekalan gas.
Hakim Mahkamah Tinggi, P Nallini membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan PETRONAS selaku plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Perwaja Steel (defendan), selepas mendapati tiada isu perlu dihujahkan dalam perbicaraan penuh.


Tolak tuntutan

Nallini sehubungan itu memerintahkan defendan membayar sejumlah RM146,138,690.52 sehingga 31 Disember 2012 bersama faedah sebanyak empat peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian dan kos sebanyak RM20,000 kepada plaintif.

Beliau menolak tuntutan saman balas dikemukakan Perwaja Steel yang menyatakan bahawa plaintif adalah sebuah syarikat monopoli dan memutuskan bahawa peruntukan Akta Persaingan 2010 tidak terpakai dalam kes berkenaan.

Mahkamah turut menolak injunksi sementara dikemukakan defendan bagi perintah supaya PETRONAS dihalang daripada mengurangkan, menggantung atau menghentikan serta mengganggu pembekalan gas kepadanya dan perintah supaya bekalan gas disambung semula serta-merta.
Puas hati

Dalam penghakimannya, Nallini berkata, mahkamah berpuas hati plaintif berjaya membuktikan tuntutannya dan ia boleh membuat keputusannya tanpa perlu mendengar perbicaraan penuh kerana fakta kes tidak begitu kompleks sehingga perlu memanggil keterangan lisan saksi.

"Ia hanya satu tuntutan saman mudah bagi menuntut hutang berhubung pembekalan gas," katanya.

PETRONAS memfailkan saman itu pada 14 Januari lalu berikutan kegagalan syarikat pengeluar keluli itu menjelaskan bayaran bagi gas yang dibekalkan ke lojinya di Kemaman, Terengganu.

Dalam pernyataan tuntutannya, PETRONAS menuntut bayaran RM146.139 juta sehingga 31 Disember 2012, faedah berjumlah RM10.313 juta sehingga 10 Januari lalu selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

PETRONAS diwakili peguam, S Suhendran manakala Paul Ong bertindak bagi pihak Perwaja Steel


0 Komentar untuk "Perwaja Steel diarah bayar RM146 juta kepada Petronas"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info