Foxconn yng buat produk Apple tutup kilang ekoran pergaduhan

TAIPEI 24 Sept. - Syarikat pembekal barangan elektronik, Foxconn yang membuat produk untuk Apple dan beberapa firma teknologi lain, menutup kilangnya di utara China, hari ini ekoran insiden pergaduhan yang membabitkan kira-kira 2,000 pekerja.
Syarikat induk Foxconn, Hon Hai dalam kenyataannya berkata, kira-kira 40 pekerja cedera dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 11 malam semalam di blok asrama pekerja kilang itu yang terletak di Taiyuan, wilayah Shanxi.
 
"Kilang terpaksa ditutup hari ini, untuk kami menjalankan siasatan dan operasi kilang akan berjalan seperti biasa esok," kata jurucakap syarikat Hon Hai, Simon Hsing kepada AFP.
Berdasarkan kenyataan tersebut, pergaduhan itu bermula 'sebagai salah faham peribadi antara beberapa pekerja' dan polis berjaya mengawal keadaan pada kira-kira pukul 3 pagi ini.
 
"Punca pergaduhan masih disiasat oleh pihak berkuasa tempatan dan kami bekerjasama dengan mereka, tetapi ia tiada kaitan dengan tugas mereka," jelas kenyataan itu.
 
Syarikat Foxconn menjadi tumpuan ekoran kejadian bunuh diri dan kekacauan oleh pekerja di kilangnya di China sejak dua tahun lalu.
Pada 2010, sekurang-kurangnya 13 pekerja kilang Foxconn di China maut dipercayai membunuh diri dan aktivis mendakwa, situasi kerja yang teruk menjadi punca mangsa bertindak sedemikian.
Foxconn kemudiannya mengambil beberapa pendekatan termasuk menaikkan gaji pekerja dan memasang jaring keselamatan di luar bangunan ekoran kejadian bunuh diri yang berlaku sebelum ini. - AFP


0 Komentar untuk "Foxconn yng buat produk Apple tutup kilang ekoran pergaduhan"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info