DiGi Telecommunications Sdn Bhd memperkenalkan tawaran baru pelan tablet mampu milik daripada serendah RM15 sebulan untuk pelanggan pasca bayar mulai hari ini.

DiGi berkata, kalangan pengguna internet mudah alih yang menggunakannya untuk menghantar emel, mengakses rangkaian sosial dan mesej segera, kini mempunyai pilihan memilih plan internet sendiri.
Kuota internet yang ditawarkan adalah serendah 500 megabait (MB) hingga dua gigabait (GB), membolehkan pelanggan mengawal perbelanjaan data mereka dengan lebih fleksibel.

"Pakej baru bagi pelanggan pasca bayar DiGi adalah RM15 untuk 500MB, RM19 bagi 1GB, RM29 untuk 1.5GB dan RM39 untuk 2GB, sementara langganan baru akan menikmati pakej yang serupa, bagaimanapun dengan tambahan RM10 untuk setiap pakej," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

DiGi, pembekal perkhidmatan telefon mudah alih, internet dan jalur lebar, komited untuk mendorong pertumbuhan Malaysia dengan membina persekitaran internet mudah alih dan jalur lebar yang mengupayakan hubungan sebenar, mencipta pembangunan sosioekonomi dan membantu perniagaan membangun.