Mat Yo: Bonus hak saya, Kafa boleh nilai

"ITU hak siapa sebenarnya? Bagi saya sebagai presiden, dia boleh menilai." Demikian menurut penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Bola Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang antara lain berkata, kemenangan tiga kejuaraan oleh The Red Warriors hanya akan diberikan kepada pemain yang setia dengan pasukan Kelantan.

Menurut Mat Yo, tiga kejuaraan yang diperolehi oleh Kelantan turut disumbangkan oleh beliau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, imbuhan kepada pemain turut menjadi haknya.

"Saya pun tidak tahu macam mana sebab saya sendiri tidak tahu sama ada saya kekal atau berhijrah.

"Tapi, sekiranya saya berhijrah, Kafa tidak boleh melakukan sedemikian, itu hak saya," ujar Mat Yo.

Dalam laporan media hari ini, Annuar dipetik berkata, Kafa bersedia melepaskan Mat Yo sekiranya tawaran yang diperoleh berbaloi dengan nilainya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, bonus kemenangan ketiga-tiga kejuaraan tersebut akan hanya diberikan kepada pemain yang setia kepada pasukan Kelantan.

"Bonus adalah hak pertimbangan presiden dan persatuan, jadi kita akan hanya memberikan bonus kepada pemain yang setia untuk terus beraksi dengan kita sahaja sebab itu sebahagian daripada semangat berpasukan," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai prestasinya dalam dua perlawanan persahabatan baru-baru ini, Mat Yo yang juga pemain kebangsaan mengakui prestasi beliau belum mencapai kemuncaknya.

Bagaimanapun beliau menolak dakwaan yang mengatakan prestasinya terganggu ekoran isu perpindahan yang belum diselesaikan.

"Saya akui prestasi saya belum di tahap yang terbaik. Tapi ini bukan disebabkan oleh isu berhijrah ke Johor.

"Apa-apa pun, saya yakin dua tiga minggu lagi prestasi saya akan kembali ke tahap yang sebenar sebelum bermulanya saingan Piala Suzuki AFF nanti," katanya.

Mengulas lanjut dua kekalahan berturut-turut dialami skuad kebangsaan, Mat Yo bagimanapun menganggap mereka telah melakukan yang terbaik.

"Bagi saya pemain sudah melakukan yang terbaiki, cuma tiada rezeki.

"Tapi bagi saya, walaupun kalah, itu memberi kelebihan kepada kita untuk lebih bersedia andai kata bertemu mereka di suku akhir nanti," jelas beliau


Related Post

  • Minyak baru BHPetrol BERMULA 16 Oktober ini, pemandu boleh mendapatkan petrol terbaru Infiniti Advanced 2x 95 dan 97 edaran Boustead Petrole…
  • Elaun naik 88 peratusIPOH - Kira-kira 20,000 pelatih peringkat sijil dan diploma di semua institusi latihan Kementerian Kesihatan akan menikm…
  • Pena Kampus: Tanggungjawab YB kampus"TERIMA kasih kerana memilih pro-Aspirasi". Begitulah antara petikan ayat yang dilontarkan ikhlas Perdana Menteri ketika…
  • Almera miliki gaya mewahNISSAN Almera atau Nissan Sunny di China mencatatkan jualan memberangsangkan dan dijual lebih 460,000 unit sejak dilanc…
  • Sonata lebih garangIMEJ garang dan rekaan lebih sporty menjadi sandaran terbaru buat Hyundai Sime Darby Motors memperkenalkan varian Sonata…
0 Komentar untuk "Mat Yo: Bonus hak saya, Kafa boleh nilai"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info