Bahana ingkar kontrak pertunangan

FATIMAH (bukan nama sebenar) telah mengenali Johari (bukan nama sebenar) sejak mereka di menara gading. Hubungan mereka bermula daripada rakan sekuliah akhirnya telah bertukar menjadi pasangan kekasih.Selepas tamat pengajian, Johari mendapat pekerjaan sebagai jurutera di sebuah syarikat petroleum di utara tanah air manakala Fatimah pula bertugas di sebuah syarikat pembinaan yang terletak di ibu kota. Cinta mereka diperkukuhkan dengan majlis pertunangan tidak lama kemudian.
 
Oleh kerana hubungan terlalu jauh, Johari sanggup berhenti kerja dan menganggur berbulan-bulan demi semata-mata cintanya terhadap Fatimah. Bagaimanapun hubungan pertunangan itu tidak kekal lama apabila Fatimah berhasrat mengahwini kekasih pertama yang dikenalinya sejak sekolah rendah.
Hancur luluh hati Johari dengan sikap Fatimah. Janji-janji manis ditaburkan hanya tinggal kenangan sahaja. Demi menuntut hak, Johari mengemukakan saman mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 untuk menuntut semula ganti rugi hantaran, gaji kerana pengangguran selama empat bulan dan segala-gala perbelanjaan semasa berlangsung hubungan pertunangan.
Mengulas lanjut berhubung kisah di atas, peguam syarie, Datuk Amli Embong memberitahu bekas tunangan, sama ada lelaki atau wanita boleh mengemukakan saman bagi menuntut ganti rugi semasa tempoh pertunangan melalui proses undang-undang.
 
Amli berkata, peruntukan undang-undang itu berbeza mengikut negeri masing-masing, tetapi di Wilayah Persekutuan akta itu menyebut:
"Jika seseorang telah mengikat suatu kontrak pertunangan mengikut hukum syarak sama ada secara lisan atau secara bertulis dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi kepada kontrak itu tanpa apa-apa sebab yang sah.
"Manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian-pemberian pertunangan.
"Jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah."
 
Oleh demikian, jelas Amli akta itu memperuntukkan bahawa pemohon boleh mengemukakan saman untuk menuntut apa-apa ganti rugi sepanjang tempoh pertunangan sehingga talian hubungan itu terlerai.
"Peruntukan itu digubal bertujuan untuk menjaga dan mengangkat keadilan hak pasangan apabila kontrak pertunangan yang sepatutnya diteruskan melalui hubungan suami isteri akhirnya terputus dengan perpisahan.
"Jadi ia turut dilihat sebagai panduan kepada para pasangan untuk berhati-hati menjaga perhubungan mereka," kata Amli.
 
Dalam pada itu, beliau berkata ketika prosiding, pemohon mesti mengemukakan butiran tuntutan seperti perbelanjaan, ganti rugi dan sebagainya yang diserta bersama-sama bukti resit dan saksi. Ujar beliau, jika pertunangan dilakukan secara rasmi, mereka boleh menampilkan wakil ketika majlis berlangsung kepada prosiding mahkamah.
 
Sebaliknya tambah Amli, jika pertunangan yang dilakukan secara tidak rasmi adalah amat sukar untuk dibuktikan kepada mahkamah. Ini kerana pihak defendan akan mempertikaikan tuntutan tersebut, sama ada ia barang hantaran pertunangan atau hanya sekadar hadiah biasa.
"Barangan pertunangan adalah berbeza barangan hadiah. Mungkin barangan hadiah boleh bertujuan untuk permulaan perkenalan. Hadiah hari jadi atau sebagainya mungkin boleh jadi atas dasar persahabatan," kata Amli.



0 Komentar untuk "Bahana ingkar kontrak pertunangan"

Dah baca? Sudikanlah beri komen sepatah dua ya...

 
Copyright © 2015 naima afrina - All Rights Reserved
Template By Catatan Info